Penyerang muda Selangor, Danial Asri, menganggap kelibat Romel Morales perlu dirantai seandainya juara 33 kali itu berhasrat untuk bangkit dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium KLFA, Cheras, esok.

Morales yang juga penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan sembilan gol setakat ini mampu menjadi pemusnah skuad bimbingan Karsten Neitzel dalam pertembungan 'derby' Lembah Klang itu.

"Kami tidak kawal rapi Romel. Dari detik itu dia buat gol di tempat lawan dan mendorong mereka bermain dengan lebih sedap.

"Dia menunjukkan potensi yang sangat bagus, jadi kami perlu berinya lebih kawalan terhadapnya," kata Danial yang sudah mencetak tiga gol dalam Piala Malaysia.





Dalam lima pertemuan lalu, Gergasi Merah memiliki kelebihan daripada segi rekod kemenangan, namun jumlah gol dan bolos agak seimbang sekali gus memberi petanda kedua-dua pasukan memiliki sama rata.

Juara 33 kali itu mengakui tekanan semakin hebat buat mereka, lebih-lebih lagi perlu memadam defisit dua gol di tempat lawan.

"Kami perlu cari lebih gol di tempat lawan.

"Kami akan pergi dengan semangat yang tinggi. Semua pemain fokus dan akan berikan yang terbaik ," katanya lagi.