Kuala Lumpur City mengakui nasib lebih menyebelahi mereka dalam penentuan sepakan penalti untuk menempah tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dengan mengecewakan Melaka United, malam tadi.

"Semalam kami sempat berlatih sepakan penalti.

"Tetapi adakalanya sepakan penalti melibatkan kekuatan mental.

"Apa yang penting hari ini ialah menjaringkan gol dan kami mendapatkannya pada awal permainan.

"Kami memulakan perlawanan dengan lebih baik di sebalik gangguan lampu limpah.

"Semuanya berjalan baik cuma kami gagal menambah jaringan.

"Kemudian kami hilang tumpuan hingga melepaskan gol mudah.

"Situasi dalam penentuan sepakan penalti adalah 50-50 dan mungkin kali ini kami lebih bernasib baik," kata jurulatih Kuala Lumpur City, Bojan Hodak, yang akan membuat persiapan menjelang penentuan kejuaraan bertemu juara 2019, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Selasa depan.




Sebelum sepak mula lagi drama menyelubungi pertemuan kedua di Stadium Hang Jebat itu apabila mengalami gangguan bekalan elektrik sebanyak dua kali, sekali gus memaksa perlawanan ditunda sehingga 10 malam.

Sejurus ia bermula, pelawat lebih garang dengan berhasil mendapatkan kelebihan apabila pemain sayap, J. Partiban, memanfaatkan peluang dalam kotak penalti untuk meletakkan skuad Warga Kota mendahului secara agregat 2-1 pada minit ke sembilan.

Begitupun, Melaka mengubah tempo permainan mereka dalam babak kedua apabila Syamim Yahya membuatkan membuatkan stadium bersorak dengan jaringan penyamaan pada minit ke-64 yang berpunca daripada sepakan penjuru.

Tamat 90 minit, perlawanan dianjak ke masa tambahan dan kedua-dua pasukan tetap buntu untuk mencipta jaringan.

Perlawanan sedikit tegang apabila tercetus konfrontasi membabitkan kedua-dua belah penyokong, namun ia berjaya dileraikan pasukan keselamatan sebelum pemenang akhirnya diputuskan menerusi penentuan sepakan penalti.

Giovanni Gomez membuatkan seluruh penyokong tuan rumah terkedu apabila sepakannya hanya mampu menggegar palang dan melantun keluar, seterusnya pertahanan import Kuala Lumpur, Giancarlo Gallifuoco, tenang memacu pasukannya mara ke final selepas 32 tahun dengan kemenangan 5-3.

"Walaupun penyokong cuba mengganggu sepakan saya (dalam penentuan penalti) tapi saya hanya fokus kepada tugas sebenar," kata Gallifuoco.




Walaupun meratapi kegagalan untuk melunaskan misi ke Bukit Jalil, ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, terpaksa akur bahawa rezeki bukan milik mereka.

"Tumpuan pemain ketika dalam penentuan sepakan penalti baik, tidak ada yang tersasar cuma terkena tiang.

"Gomez menangis tetapi kami kena terima hakikat ini," katanya.