Perubahan venue perlawanan dari Petaling Jaya ke Shah Alam menjadi kebimbangan jurulatih MISC-MIFA, K. Devan, yang melihat kelebihan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang aksi getir perlawanan terakhir Kumpulan C Piala Malaysia.

Aksi MIFA-JDT terpaksa berpindah dari Petaling Jaya ke Shah Alam untuk bagi memberikan laluan kepada Kejohanan AFC B-16 Tahun yang bermula minggu depan.

Tiada pilihan lain, Devan mungkin menagih barisan pemainnya untuk mempamer prestasi lebih baik agar untuk tidak memberi ruang kepada pemain JDT bergerak bebas.

Tambahnya, padang di Shah Alam cukup sesuai kepada corak permainan JDT yang mengamalkan corak hantaran pendek dan pantas.

"Beraksi di Shah Alam memberikan kelebihan kepada JDT tetapi kami akan berusaha untuk bertahan dengan baik dalam perlawanan ini," katanya.

Menjadi pendahulu Kumpulan C, Devan menegaskan pasukannya tidak berasakan sebarang tekanan memandangkan mereka bukan pasukan pilihan sebelum bermula saingan Piala Malaysia bermula.

Sebaliknya, beliau menjangkakan JDT selaku juara bertahan pasti turun dengan tekanan tinggi memburu kemenangan selain mahu membalas dendam kekalahan di Larkin, 5 Ogos lalu.

"Ini memberikan motivasi buat MIFA. Kami mendahului saingan dan berdepan JDT dalam perlawanan terakhir. Kami tidak akan melepaskan peluang ini."