Piala Malaysia: Nurshamil sedia tampil aksi terbaik

Ammar Hakim
September 24, 2021 12:33 MYT
'Dari sifar menjadi wira', itu situasi yang dapat digambarkan buat penyerang Kelantan FC, Nurshamil Ghani.
Daripada pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan dan hampir tidak mempunyai pasukan, kini Shamil menjadi penjaring terbanyak pemain tempatan Liga Perdana 2021 (sembilan).
Dalam perkongsiannya bersama Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bekas penyerang Melaka, Selangor dan Pulau Pinang itu juga bersedia memacu 'The Red Warriors' berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi pertama Piala Malaysia.
"Kemenangan untuk memastikan layak ke Piala Malaysia adalah amat penting bagi memastikan Kelantan FC terus beraksi dalam saingan itu," kata Nurshamil.
"Dalam masa sama, saya mencapai sasaran untuk menjadi penjaring terbanyak bagi pemain tempatan. Ia cukup manis kerana kejayaan yang berjaya diraih bagi pasukan dan juga individu.
"Saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk terus beraksi selepas sukar mendapatkan tempat dalam pasukan bagi meneruskan perjalanan karier. Ini merupakan satu rezeki bagi saya bersama Kelantan sekaligus menjadi penjaring terbanyak bagi pemain tempatan.
Bercakap mengenai saingan dalam Piala Malaysia, Nurshamil berkata, "Ia ternyata merupakan pentas tertinggi dalam saingan bola sepak Malaysia dan persaingan dalam setiap perlawanan penting dan sengit."
#Kelantan FC #Nurshamil Ghani