Kedah mengharapkan kesemua kesebelasan utamanya pulih daripada kecederaan sebelum saingan Piala Malaysia 2018 bermula bulan depan.

Ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, berkata ketika ini prestasi pasukannya dilihat sedikit merosot apabila sebahagian besar pemain utama tidak dapat diturunkan hingga gagal dalam misi untuk berada dalam kelompok empat teratas Liga Super yang berakhir malam tadi.

"Memang kami akui dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, prestasi pasukan terjejas kerana ramai pemain cedera dan sukar bagi kami untuk mencapai kemenangan.

"Namun kami cuba dengan pemain muda tapi tahap mereka belum sampai pada tahapnya dan belum dapat membantu pasukan untuk mencipta kemenangan. Sebab itu saya nak mereka pulih dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di antara Kedah dan PKNP malam tadi.

Antara yang diharapkan dapat beraksi ialah penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Che Kasim, Mohd Ariff Farhan Md Isa, Baddrol Bakhtiar, Liridon Krasniqi, Paulo Rangel dan Andik Vermansyah.

"Terdekat ini, Liridon Krasniqi berjanji akan pulang dari luar negara dalam keadaan pulih pada 1 Ogos ini dan berharap dia dapat membantu menaikkan semula semangat pasukan dan rentak permainan," katanya.

Kedah gagal berada dalam kelompok empat teratas apabila tewas 1-3 kepada PKNP dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi.

Kekalahan itu menyebabkan Kedah jatuh ke tangga keenam liga dengan hanya mengutip 32 mata di bawah Terengganu dengan 34 mata.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim ,berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemainnya walaupun mengakhiri Liga Super di tangga kesembilan, iaitu di bawah Selangor.

"Fokus kami dalam Piala Malaysia pula. Walaupun agak sukar dengan pemain yang tidak konsisten, ada menang dan ada kalah, kami jadikan panduan, namun harus diingat pasukan PKNP mampu bersaing hingga suku akhir Piala Malaysia musim lalu," katanya.

-- BERNAMA