Ketua jurulatih Selangor FC, Kartsen Neitzel, mengakui pasukannya tidak berada dalam prestasi sebenar dan hanya bernasib baik dapat mengutip tiga mata dalam perlawanan pertama Piala Malaysia semalam.

Turun selaku pasukan pilihan, The Red Giants dijangka dapat menewaskan Perak dengan mudah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tetapi perkara sebaliknya berlaku apabila The Bos Gaurus, yang sebelum ini longlai dalam saingan Liga Super, kelihatan lebih mendominasi perlawanan Kumpulan B itu, terutama dalam separuh masa pertama.

Perak memiliki dua peluang terbaik untuk mendapatkan gol tetapi ketumpulan jentera serangan mereka, yang diketuai Nana Poku, menggagalkan hasrat pelawat untuk sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata.

Selangor amat bernasib baik apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Sean Selvaraj dijatuhkan pertahanan Perak, Mohd Idris Ahmad, menjelang minit ke-79 sebelum penggempur utama, Ifedayo Olusegun, tidak mensia-siakan peluang itu untuk menewaskan penjaga gol, Azri Ab Ghani.

Neitzel berkata dalam sidang media selepas perlawanan itu: "Perkara paling utama adalah kami dapat meraih tiga mata dan kami amat bertuah dapat melakukannya.

"Tetapi sejujurnya, adakala kami memerlukan tuah dalam permainan ini, terutama dalam babak pertama.

"Saya berpuas hati dengan prestasi, kesediaan dan komitmen kami untuk mendapatkan bola tetapi pihak lawan memiliki terlalu banyak peluang untuk menjaringkan gol.

"Kami memiliki empat atau lima situasi dalam babak pertama, di mana kami melakukan hantaran terakhir dengan buruk.

"Kami menguasai perlawanan tetapi perlu sentiasa berhati-hati dengan hantaran jauh pihak lawan.

"Ia bukan sesuatu yang mudah dan sejujurnya, kami sepatutnya boleh melakukan sesuatu yang lebih baik," katanya.