Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, memuji kelincahan dan kreativiti yang dipamerkan pemain tengahnya, Faiz Nasir, selepas merekodkan kemenangan 2-1 ke atas naib juara Liga Perdana, Sarawak United, dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.

Pemain bertubuh cilik itu memainkan peranan penting ketika merencanakan gerakan dalam merobek gawang lawan kendalian E. Elavarasan berkenaan.

Faiz turut menjaringkan gol kemenangan skuad Peteh itu selepas Faisal Halim membuka jaringan dan Shahrul Nizam Ros Hasni terjaring gol ke gawang sendiri untuk merapatkan jurang buat Sarawak United.

Nafuzi tanpa berselindung mengingatkan pemainnya untuk terus membuktikan kewibawaan dan menjadikan Faiz sebagai contoh untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan Pantai Timur itu.

"Untuk saingan Piala Malaysia kali ini, salah seorang pemain yang mempamerkan prestasi terbaik dalam Terengganu FC adalah Faiz Nasir," kata Nafuzi seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Dia mengekalkan prestasinya dalam perlawanan besar dan dia pemain dengan keyakinan yang amat tinggi

"Walaupun bersaiz kecil, dia mempunyai jiwa yang besar.

"Saya menggemari pemain seperti ini dan kalau boleh, saya mahukan 25 pemain sepertinya," katanya.