Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, enggan pertahanannya, Shahrul Nizam Ros Hasni, terus dihantui dengan isu gagal melapor diri bersama skuad kebangsaan.

Pemain itu sebelum ini gagal melapor diri menjelang kunjungan Harimau Malaya ke Jordan bagi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang pasukan tuan rumah itu dan Uzbekistan.

Dia dilaporkan mendapat panggilan saat-saat akhir bagi menggantikan Dion Cools, yang mengalami kecederaan, tetapi gagal dihubungi kerana telah turun ke laut.

Sudah pasti keadaan terkini pemain kelahiran Bachok, Kelantan itu menjadi tanda tanya setelah dihujani dengan kecaman daripada penyokong tetapi Nafuzi menuntut pemain berusia 23 tahun itu untuk kembali fokus bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bersambung hujung bulan ini.

Nafuzi berkata kepada Nadi Arena: "Daripada raut wajahnya, saya boleh nampak keadaannya tidak seperti sebelum ini.

"Mungkin dia terlalu banyak berfikir tentang kata-kata daripada penyokong atau tentang hukuman yang akan dihadapinya.

"Saya kini mencuba untuk banyak bercakap dengannya, memberikan nasihat dan semangat.

"Perkara ini berlaku agar dapat dijadikan pengajaran buat dirinya sendiri.

"Saya rasa mungkin masih ada banyak ruang untuk diperbaikinya bagi masa depannya," katanya.

Terengganu seterusnya akan menghadapi Perak di Ipoh pada 30 Oktober ini.