Mendahului Kumpulan C daripada hari pertama perlawanan Piala Malaysia, MISC-MIFA mengakui pasti kecewa jika melepaskan tiket ke suku akhir pada saat-saat akhir kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

MISC-MIFA hanya memerlukan keputusan seri bagi mara ke pusingan lapan terbaik, namun impian mereka mencipta sejarah mungkin berkubur sekiranya tewas.

Pengendali MISC-MIFA, K. Devan, tidak mahu sasaran meraih satu mata ada dalam minda setiap pemain, sebaliknya tetap tampil dengan corak permainan menyerang.

Malah, beliau sudah menjanjikan akan ada elemen kejutan yang akan ditampilkan, berbeza dengan ketika MISC-MIFA menang 2-1 di Larkin.

"Kami tidak akan bermain secara bertahan. Kami akan berusaha untuk meraih kemenangan di laman sendiri," kata Devan.

Sementara itu, Devan bakal kehilangan pertahanan, Elizeu Melo, yang secara automatik digantung satu perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning.

Beliau kini berdebar menanti keputusan Jawatankuasa Tatatertib, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap rayuan pengurangan penggantungan Kpah Sherman daripada dua kepada satu perlawanan, sekali gus boleh diturunkan menentang JDT.

"MISC-MIFA telah membuat rayuan dan menunggu maklum balas mengenai isu ini. Kami perlu melakukan pertukaran strategi bagi menghadapi perlawanan ini."