Piala Malaysia: MFL larang penyertaan Melaka United kerana tunggakan gaji

Muzaffar Musa
September 21, 2022 08:53 MYT
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan bahawa Melaka United tidak dibenarkan untuk beraksi dalam siangan Piala Malaysia 2022 gara-gara gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.
Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan badan pengelola itu hari ini, ahli lembaga pengarah MFL mendapati Melaka United gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh yang ditetapkan.
Kelab dari selatan itu dilaporkan telah menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan pembayaran tunggakan berkenaan atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain terlibat sebelum tarikh akhir semalam.
Bagaimanapun, kelab berkenaan hanya dapat memberikan bukti pembayaran sehingga Jun 2022, sekali gus dilarang daripada beraksi dalam Piala Malaysia 2022.
Kenyataan itu berkata: "Melaka United gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan, di mana mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun 2022.
"Selain itu, mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.
"Maka atas sebab itu, ahli lembaga pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
"MFL mengingatkan agar Melaka United dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023."
#bola sepak #Melaka United #Piala Malaysia #Liga Bolasepak Malaysia