Menjelang saingan Piala Malaysia hujung bulan ini, Melaka United dilaporkan kehilangan khidmat pemain tengah, Gary Steven Robbat, berikutan kecederaan buku lali.

Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, mengesahkan pemain yang dipinjam daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) itu terpaksa berehat selama tiga hingga empat bulan untuk pulih sepenuhnya.

Selain Gary, seorang lagi pemain yang sedang bergelut dengan kecederaan adalah pemain sayap, Syamim Yahya.

Dalam satu temu bual Nadi Weekend, Zainal Abidin berkata: "Gary mengalami kecederaan buku lali dan nampak gayanya, dia tidak akan dapat lagi beraksi (buat Melaka).

"Cuma saya masih berharap Syamim akan sempat pulih dalam dua atau tiga minggu ini.

"Bukan satu kerugian kerana Gary sudah menunjukkan impak yang dibawanya cuma nasib tidak menyebelahinya untuk menghabiskan musim ini bersama pasukan Melaka," katanya.

Zainal Abidin, dalam pada itu, tidak menafikan hasratnya untuk membawa Melaka ke final Piala Malaysia.

Pasukan Hang Tuah itu diletakkan dalam Kumpulan C bersama Kedah Darul Aman FC dan dua lagi pasukan daripada Liga Perdana.

"Saya sedar kebanyakan pemain Melaka tidak pernah merasa final Piala Malaysia, jadi saya selalu mencurahkan pengalaman saya untuk mereka dapat mencapai cita-cita itu.

"Sebagai pemain bola sepak, mereka perlu berada di final Piala Malaysia supaya boleh berpuas hati dengan karier mereka," katanya lagi.