Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, menganggap pasukannya berada di landasan tepat untuk menamatkan penantian 100 tahun mara ke final Piala Malaysia selepas berjaya mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Tatkala rakan sejawatnya, Bojan Hodak, belum menekan butang panik biarpun kelebihan kini tidak memihak The City Boys menerusi gol tempat lawan dan perkongsian lanjut Bojan dan Zainal bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Saya berasakan jaringan bakal terhasil dalam perlawanan akan datang, kedua-dua pasukan berkemampuan untuk menghukum setiap kesilapan yang dilakukan," kata Hodak.

"Ini merupakan perlawanan paling penting bagi Melaka selepas pengorbanan yang telah dilakukan. Setiap pemain sentiasa diingatkan supaya memberikan aksi terbaik menjelang perlawanan separuh akhir kedua nanti," kata Zainal.

Sementara itu, pemain tengah KL City, Zhafri Yahya, enggan berasa kecewa setelah jaringannya gagal membantu skuad warga kota keluar sebagai pemenang semalam.

Zhafri yang sudah melanjutkan kontrak bersama KL City menegaskan mereka akan bangkit dengan aksi lebih baik untuk akhiri kemarau mara ke final Piala Malaysia.

"Seri ini tetap keputusan positif beraksi di laman sendiri. Kami akan berusaha mendapatkan jaringan dalam perlawanan akan datang," kata Zhafri.

"KL City masih lagi menurunkan barisan pemain yang sama sejak saingan Liga Super, namun kami tetap akan memberikan yang terbaik."

Pemain tengah Melaka, Sony Norde, menganggap pasukannya belum menunjukkan tahap keupayaan sebenar walaupun berjaya mencuri satu gol di tempat lawan.

"Agak sukar beraksi dalam perlawanan ini kerana permukaan yang agak basah. Kami turut berdepan lawan yang bermain dengan baik dan lega dengan satu jaringan yang terhasil dalam perlawanan ini," katanya.