Melaka United hanya selangkah untuk melakar sejarah dalam bola sepak negara seandainya dapat menamatkan penantian 100 tahun layak ke final Piala Malaysia.

Bagaimanapun, mereka terlebih dahulu perlu mengatasi Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan separuh akhir kedua di laman sendiri malam esok.

Barisan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu berharap dapat menumbangkan KL City dalam tempoh 90 minit selepas perlawanan pertama di Cheras pada Isnin lalu berkesudahan 1-1.

Pasukan itu dijangka akan menurunkan barisan pemain sama seperti yang diturunkan dalam perlawanan pertama dan mengulas mengenai misi pasukannya untuk mara ke final buat kali pertama kejohanan itu, Zainal Abidin berkata kepada wartawan Nadi Arena Adam Zamri: "Insya-Allah, itulah misi dan niat kami.

"Secara bersama, kami ingin melakukannya demi kebaikan bola sepak di negeri Melaka, kami ingin membawa pasukan Melaka ke perlawanan akhir.

"Tetapi kami perlu bertungkus lumus selama 90 minit malam esok -- mungkin lebih, kita tak tahu.

"Apa yang penting adalah keinginan pemain untuk membawa pasukan Melaka United ke final, jadi perlawanan malam esok -- selepas terikat 1-1 di Kuala Lumpur -- saya ingin mengingatkan pemain bahawa mereka harus mengambil setiap peluang dan kelebihan bermain di tempat sendiri.

"Memang kalau boleh kami mahu menamatkannya dalam masa 90 minit tetapi kami perlu bersedia lebih daripada itu.

"Perkara itu telah dimaklumkan kepada pemain, jadi kami juga bersedia sekiranya perlu beraksi lebih daripada 90 minit," katanya.