Perjalanan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi misi mempertahankan Piala Malaysia kelihatan berdepan laluan mudah dalam saingan peringkat kumpulan.

Selepas memahat sejarah merangkul gelaran Liga Super buat kali kelapan berturut-turut, JDT diundi dalam Kumpulan D bersama PJ City FC, Sabah FC dan pasukan tangga keempat Liga Perdana dalam majlis undian, hari ini.

Penghuni tangga kedua Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA) juga turut dilihat tidak berdepan kesukaran untuk mara ke peringkat kalah mati apabila diundi dalam Kumpulan C bersama Melaka United, juara Liga Perdana sama ada Negeri Sembilan atau Sarawak United dan pasukan tangga kelima Liga Perdana.

Pertembungan yang lebih sengit dalam usaha untuk memastikan kedududukan pertama dan kedua dalam peringkat kumpulan membabitkan Kumpulan A dan B selepas masing-masing dibarisi tiga pasukan Liga Super dan satu wakil Liga Perdana.

Pasukan tangga ketiga Liga Super, Penang FC bakal berdepan tugas sukar dalam Kumpulan A apabila terpaksa berdepan KL City FC, Sri Pahang FC dan naib juara Liga Perdana musim ini sama ada Sarawak United atau Negeri Sembilan FC.

Terengganu FC, Selangor FC, Perak FC serta pasukan tangga ketiga Liga Perdana melengkapkan Kumpulan B.

"Saya berasakan Kumpulan B merupakan kumpulan yang sukar apabila dibarisi pasukan seperti Selangor sementara Perak turut mula menampilkan peningkatan kebelakangan ini," kata ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain.

"Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Terengganu merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya mengatasi JDT. Itu tidak bermakna bahawa kami kuat tetapi dalam saingan ini, mana-mana pasukan mampu meraih kemenangan, mana-mana pasukan boleh menemui saat kekalahan," kata penyerang Terengganu, Faisal Halim.

"Kami akan cuba yang terbaik seperti apa yang telah dipamerkan sebelum ini bagi mendapatkan kemenangan."

Sepak mula saingan Piala Malaysia yang memasuki ulang tahun ke-100 musim ini akan bermula 25 September ini.