Piala Malaysia: Kipre belum tentu dapat diturunkan Kedah lawan JDT

Muzaffar Musa
November 16, 2021 11:04 MYT
Penyerang Kedah Darul Aman FC, Tchetche Kipre, belum pasti dapat diturunkan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Iskandar Puteri, Khamis ini.
Pemain dari Ivory Coast itu sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan lutut dan perlu menunggu pengesahan daripada pakar perubatan selewat-lewatnya esok untuk dibenarkan beraksi.
Tanpa pemain berusia 33 tahun itu dalam aksi pertama di Alor Setar hujung minggu lalu, Kedah ternyata buntu dalam mencari penyudah sehingga terikat tanpa jaringan dengan JDT.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi, Kipre berkata: "Secara peribadi, saya fikir saya dapat bermain tetapi saya akan bermain dengan sedikit kesakitan tetapi perlawanan seperti ini (menentang JDT) anda perlu bebas daripada sebarang kesakitan untuk memberikan 100 peratus.
"Saya tidak mahu ada yang fikir saya menipu kerana apabila saya bermain, saya mahu memberikan 100 peratus.
"Saya mahu memberikan 100 peratus ketika menentang JDT tetapi anda tidak boleh memilih kerana ini mungkin perlawanan terakhir kami atau kami akan ke pusingan seterusnya.
"Kami akan melihatnya dalam sesi latihan dan selepas itu, saya akan ketahui sama ada ia sudah bertambah pulih atau tidak.
"Buat masa ini, saya tidak dapat memberikan sebarang pengesahan sama ada saya akan bermain atau tidak tetapi kesemua staf perubatan dan staf kecergasan sedang berdoa agar kami mendapatkan berita yang lebih baik," katanya.
#bola sepak #Piala Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Kedah Darul Aman FC #Tchetche Kipre