Kelebihan kini memihak Johor Darul Ta'zim (JDT), kata ketua jurulatih pasukan itu, Benjamin Mora, selepas terikat 0-0 dengan Kedah Darul Aman FC dalam suku akhir pertama Piala Malaysia di Alor Setar semalam.

Bagi Mora, pasukannya mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi, terutama apabila beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Khamis depan.

"Kami mencuba untuk membina dan menghuraikan demi penyatuan dalam menguasai permainan," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Dan adakalanya, untuk mencipta gerakan adalah sesuatu yang lebih sukar.

"Saya fikir ia adalah satu perlawanan yang bagus dan sukar, dan Aidil (Sharin Sahak, ketua jurulatih Kedah) telah melakukan perkara yang baik untuk pasukan mereka.

"Ia juga sesuatu yang bagus untuk kami berada di sini dan memberikan saingan, kami tidak dibolosi, jadi keputusan 0-0 tidak memihak sesiapa dan kami akan beraksi di gelanggang sendiri.

"Saya fikir kelebihannya kini di pihak JDT kerana beraksi di laman sendiri, kami akan melakukan sehabisnya untuk memenangi perlawanan.

"Saya akan risau mengenai gol di tempat lawan seandainya mereka menjaringkan gol itu. Hanya itulah yang akan membimbangkan saya," katanya

Aksi di Stadium Darul Aman menyaksikan Kedah tempang tanpa penyerang utama, Tchetche Kipre, yang masih bergelut dengan masalah kecergasan, tetapi barisan pertahanan skuad Lang Merah itu wajar diberikan pujian selepas mematahkan setiap serangan yang direncana Harimau Selatan.