Pemangku jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya, menegaskan bahawa pasukannya masih belum mengaku kalah untuk memburu slot suku akhir Piala Malaysia biarpun keputusan 0-0 menentang Petaling Jaya City FC di Stadium Sultan Muhammad IV semalam telah menyukarkan hasrat itu.

Dengan berada di tangga ketiga Kumpulan D selepas hanya mengumpulkan 2 mata, The Red Warriors perlu memenangi dua perlawanan terakhir menentang Sabah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) -- yang telah sah layak ke pusingan berikutnya selaku juara kumpulan -- sambil berharap PJ City dan Sabah akan keciciran mata.

"Saya tidak akan menyerah selagi ia belum berakhir," kata Rezal Zambery dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Sebagai seorang (bekas) pemain bola sepak dan jurulatih, sudah tentu semangat untuk melawan itu perlu ada.

"Kita tidak boleh kata sudah tiada harapan atau peluangnya tipis.

"Seperti yang kita tahu, peluang kami masih terbuka dan saya juga mahukan kemenangan pertama buat Kelantan FC dalam Piala Malaysia kali ini.

"Jadi, saya berharap pemain dapat meningkatkan prestasi meskipun saya tahu prestasi mereka amat baik.

"Tetapi bermain di Kota Kinabalu (menentang Sabah, Sabtu ini) bukanlah sesuatu yang mudah buat mana-mana pasukan.

"Bagi saya, sekiranya pemain dapat meningkatkan prestasi mereka, saya rasa kami berpeluang untuk mendapatkan keputusan positif di sana," katanya.

Aksi di Kota Bharu itu menyaksikan Kelantan merencanakan beberapa peluang terbaik, antaranya menerusi rembatan jarak jauh Syed Sobri Syed Mohamad pada minit ke-19 selain tandukan Nurshamil Abdul Ghani pada minit ke-54.

Bagaimanapun, ketumpulan penyudah jentera serangan sekali lagi menjadi faktor utama mereka gagal menemui kemenangan pertama selepas merekodkan dua keputusan seri dan dua kekalahan.