MISC-MIFA mempamer semangat tinggi walaupun terpaksa bertarung dengan 10 pemain sepanjang babak kedua untuk mengikat finalis Piala Malaysia musim lalu, Kedah, 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

MISC-MIFA memerlukan sekurang-kurangnya satu mata bagi memimpin kembali Kumpulan C manakala Kedah terdesak untuk mencari kemenangan bagi membuka ruang ke suku akhir.

Tuan rumah yang mengunakan sepenuhnya kekuatan situasi set piece hampir menggegar gawang Kedah menerusi tandukan Kpah Sherman pada minit ke-26 yang sempat ditampan Abdul Hadi Abdul Hamid.

Lima minit kemudian, Kedah berada di depan sebaik sepakan percuma Sandro Da Silva kencang menerjah jaring pada minit ke-31.

Malang buat MISC-MIFA apabila terpaksa mengakhiri babak pertama dengan 10 pemain ekoran Sherman dilayangkan kad merah pada minit ke-45 selepas mengasari Liridon Krasniqi.

Namun, api perjuangan MISC-MIFA tidak padam sebaik memperoleh gol penyamaan hasil tandukan LĀ“Imam Seydi pada minit ke-51 yang berpunca daripada sepakan sudut Beom-Geun Bae.

Kedah hanya menunggu empat minit untuk membalas menerusi Abdul Halim Saari yang keseorangan di depan pintu gol sebelum menanduk masuk bola umpanan Krasniqi.

Erti putus asa tidak wujud dalam kamus MISC-MIFA apabila melalui situasi hampir sama. Mereka menyamakan kedudukan, kali ini giliran R. Barathkumar bagi memastikan MIFA kembali bergelar pendahulu kumpulan.

"Kedah adalah pasukan yang baik. Bukan mudah bermain dengan 10 orang menentang pasukan baik seperti Kedah.

"Tetapi kami yang bermain 10 orang begitu cemerlang dan menunjukkan bahawa pasukan kami meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan," kata jurulatih MISC-MIFA, K. Devan.

"Kami mendahului perlawanan tetapi dalam bola sepak tahap ini, kalau melakukan kesilapan, orang akan ambil kesempatan. Itu yang berlaku ketika mereka mendapat dua gol. Sesuatu perlu diperbaiki di situ," kata pemangku jurulatih Kedah, Azzmi Aziz.