Kedah Darul Aman FC menerima suntikan semangat terbaik menjelang perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam esok.

Ini selepas pihak pengurusan skuad Lang Merah itu dilaporkan sudah melangsaikan tunggakan gaji dua bulan pemainnya.

Di sebalik kegembiraan itu, ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, berdepan tamparan hebat apabila kehilangan beberapa tonggak utama menjelang perlawanan hangat berkenaan.

Antara yang tidak dapat diturunkan adalah dua pemain tengah, Rabih Ataya (Lubnan) dan K. Anumanthan (Singapura), yang perlu menjalankan tugas bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

Selain itu, penyerang utama, Tchetche Kipre, turut dilaporkan belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan.

Mengulas mengenai situasi terkini pasukannya dalam satu temu bual Nadi Weekend bersama wartawan Syakirah Zulkifly hari ini, Aidil Sharin berkata: "Persiapan untuk perlawanan kali ini perlu diteliti dengan rapi kerana kami berdepan pasukan yang kuat.

"Di atas kertas, mereka memang sentiasa pasukan yang bagus dan kami akan menghadapi perlawanan ini sebagai pasukan bukan pilihan.

"Tetapi kami akan berusaha untuk menghadapi perlawanan ini dan saya yakin pemain kami sentiasa bersedia untuk menghadapi perlawanan besar seperti ini.

"Insya-Allah, kami akan memberikan saingan yang baik.

"Benar kami kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan dan dua tonggak yang sedang bersama pasukan kebangsaan tetapi ini peluang untuk pemain muda dan apabila diberikan peluang itu, saya harap mereka akan memberikan yang terbaik

"Saya yakin mereka sudah bersedia untuk perlawanan ini," katanya.