Piala Malaysia: Kecergasan Nurshamil jadi tanda tanya

Shaiful Shamsudin
Oktober 27, 2021 12:26 MYT
Pemangku jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya, enggan mengulas lanjut status kecergasan penyerang utama yang juga merupakan penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana, Nurshamil Abdul Ghani, menjelang kunjungan ke Kelana Jaya, Jumaat ini.
Sebaliknya -- Rezal lebih gemar berbicara mengenai dua tonggak utama Petaling Jaya (PJ) City yang mampu merencatkan hajat mereka untuk meraih kemenangan sulung dalam kempen Piala Malaysia selepas hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan Kumpulan D.
"Kami akan berikan kawalan kepada semua pemain PJ City terutama Darren Lok yang boleh menggugat Kelantan selain Khyril Muhymeen Zambri yang mempunyai skil dan tendangan yang baik dalam kotak penalti.
"Pemain saya perlu mengekang asakan serangan PJ City terutama pemain yang saya katakan tadi.
"Nurshamil menjadi perhatian mana-mana pasukan dan sebelum ini dia mengalami sedikit kecederaan.
"Kami akan tunggu dalam perlawanan itu sama ada untuk turunkannya atau pun pemain lain.
"Saya mempunyai Hafizan Ghazali dan Haziq Subri yang mampu mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkannya," kata Rezal di Nadi Arena sebentar tadi.
#Piala Malaysia #Kelantan #PJ City