JDT 2 KELANTAN 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk memulakan misi mempertahankan gelaran Piala Malaysia dengan kemenangan selepas membenam Kelantan FC 2-0 di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Gol daripada Bergson da Silva dan Safawi Rasid dalam separuh masa berbeza sudah cukup untuk meletakkan pasukan Juara Liga Super itu di tangga teratas Kumpulan D selepas tamat perlawanan pertama.

JDT memperoleh sepakan penalti pada minit ke-30 selepas pemain remaja, Arif Aiman Hanapi, yang beraksi licik dari sebelah kiri, dijatuhkan pertahanan Kelantan, Ghaffar Abdul Rahman, dan Bergson tidak mensia-siakan peluang itu untuk menewaskan penjaga gol lawan, Farizal Harun.

Penguasaan JDT berterusan dalam babak kedua dan mereka hanya memerlukan empat minit untuk menggandakan kelebihan itu apabila Safawi bijak menghidu hantaran jauh Daniel Amier Norhisham sebelum melepakan sepakan voli yang merobek gawang Farizal buat kali kedua.

Dengan kemenangan itu, JDT kini menungguli kedudukan teratas Kumpulan D dengan tiga mata selepas Petaling Jaya City FC dan Sabah FC terikat 1-1 dalam satu lagi perlawanan.

Seterusnya, JDT akan bertandang ke laman PJ City manakala Kelantan pula akan menantikan kunjungan Sabah pada Khamis ini.



KEPUTUSAN KUMPULAN C
Kedah Darul Aman FC 3-0 Kelantan United
Melaka United 2-0 Negeri Sembilan