Selangor FC berjaya memastikan kemenangan 1-0 ke atas Perak FC menerusi jaringan tunggal Ifedayo Olusegun dalam aksi pembukaan saingan Piala Malaysia di Stadium MBPJ, sebentar tadi.

Selangor memasuki saingan Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Perak, Terengganu dan Kuching City.

Aksi pertama menyaksikan skuad Red Giants bertemu Perak, lawan yang diatasi dalam kedua-dua perlawanan Liga Super, dan ramalan menyaksikan mereka akan merekodkan kemenangan ketiga ke atas lawan yang sama bagi musim 2020.

Bagaimanapun, corak permainan dalam separuh masa pertama kelihatan seimbang dengan pelawat turut menguji gawang Selangor namun tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Memasuki 45 minit kedua, Selangor terus berusaha mendapatkan jaringan, namun Perak yang kekal berdisiplin sering kali menggagalkan perancangan skuad kendalian Karsten Neitzel.

Jaringan yang dinanti-nantikan akhirnya terhasil pada minit ke-80, Ifedayo melengkapkan sepakan penalti selepas Sean Selvaraj dijatuhkan pertahanan lawan.

Ketinggalan tidak menyaksikan Perak mengangkat bendera putih sebaliknya membalas serangan demi serangan dalam mencari gol penyamaan namun terpaksa menelan pahit kekalahan dalam perlawanan pembukaan saingan Piala Malaysia.

Keputusan lain:

KL CITY 3 SRI PAHANG 1

PENANG FC 1 SARAWAK UNITED 3

TERENGGANU FC 2 KUCHING CITY 0