TERENGGANU 2 SELANGOR 1

Hasrat Selangor FC untuk mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan Kumpulan B, Piala Malaysia tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Terenganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.

Gol daripada Dechi Marcel dan Lee Tuck dalam separuh masa berbeza sudah cukup untuk memberikan kemenangan kedua buat skuad Peteh itu sambil Selangor gagal merancang kebangkitan selepas Ashmawi Yakin merapatkan kedudukan.

Selepas bergelut menewaskan Perak FC 1-0 dalam perlawanan pertama, Gergasi Merah turun ke Kuala Terengganu dengan misi memburu kemenangan kedua berturut-turut tetapi mereka ketinggalan seawal minit ke-23 apabila Marcel memanfaatkan hantaran terakhir Faisal Halim sebelum melepaskan rembatan jarak jauh yang menuju ke sebelah dalam tiang gol Selangor untuk penjaga gol, Khairulazhan Khalid, tertewas.

Biarpun mendahului, Terengganu langsung tidak menunjukkan sebarang petanda untuk mereka mengendurkan asakan, terutama menerusi gandingan Faisal, Lee Tuck dan Jordan Mintah.

Pasukan bimbingan Nafuzi Zain itu berpeluang melebarkan kelebihan sebelum menuju ke bilik persalinan tetapi percubaan dari luar kotak penalti Azarul Nazarith Azhar melambung tinggi.

Terengganu, bagaimanapun, hanya memerlukan tujuh minit selepas perlawanan bersambung untuk menggandakan kelebihan, di mana Lee Tuck menemui hantaran 'cut back' Faisal sebelum menewaskan Khairulazhan dari jarak dekat.

Selangor merapatkan kedudukan pada minit ke-75 selepas penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin, gagal menangkap kemas percubaan jarak jauh Wan Zack Haikal Wan Noor untuk Ashmawi Yakin menampan masuk bola muntah berkenaan.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata sementara Selangor bernasib baik untuk kekal berada di tangga kedua selepas perlawanan di antara Kuching City FC dan Perak FC berakhir 2-2.

Seterusnya, Terengganu akan bertandang ke laman Perak manakala Selangor pula akan menantikan kunjungan Kuching City FC selepas tamat waktu rehat antarabangsa hujung bulan depan.




Keputusan Kumpulan A:
Penang FC 1-1 Kuala Lumpur City FC
Sarawak United 1-0 Sri Pahang FC