Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, kekal berahsia mengenai pemilihan awang import yang bakal memperkuatkan skuad Peteh memandangkan kelima-lima calonnya yang memiliki kemampuan.

Mereka akan menghadapi Sarawak United dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium UiTM, Shah Alam, esok dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menetapkan hanya empat pemain import boleh diturunkan kelab Liga Super apabila menentang sebarang wakil Liga Perdana.

"Habib Haroon masih dalam keadaan 50-50. Kami perlu tengok hingga esok untuk memuktamadkan kesebelasan utama," katanya di Nadi Arena.

Nafuzi juga tidak menganggap kemenangan 2-1 yang dicipta di Kuala Terengganu, Ahad lalu, menawarkan sebarang kelebihan besar buat mereka yang kali terakhir mengecapi piala berprestij itu 20 tahun lalu.

Dia juga tidak senang sekiranya mereka dilabel sebagai pasukan pilihan dalam edisi ke-100 ini.

"Keputusan 2-1 tidak menjamin apa, bukannya satu bekalan yang selesa. Peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan.

"Kami ingin menang di sini untuk meneruskan kemaraan.

"Yang penting pemain tunjukkannya di atas padang, ia akan menentukan segalanya.

"Lupakan label sebagai pasukan pilihan."