Tandukan ketika permainan hampir menuju ke wisel penamat oleh pemain pertahanan, Hector Moreno, memberikan satu mata buat Mexico apabila berjaya mengikat juara Eropah, Portugal, 2-2 dalam perlawanan Kumpulan A, Piala Konfederasi 2017 di Kazan Arena, semalam.

Moreno, yang baru menyertai AS Roma dari PSV minggu lalu, melompat tinggi menyambut bola hasil sepakan sudut Jonathan Dos Santos sebelum menewaskan penjaga gol lawan untuk menanduk masuk gol penyamaan buat Mexico.

Portugal terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-34 menerusi Ricardo Quaresma, namun pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila penyerang Bayer Leverkusen, Javier 'Chicharito' Hernandez, menyamakan kedudukan menerusi tandukan deras lapan minit kemudian.

Walaupun dalam separuh masa kedua Mexico banyak mengawal permainan, namun juara EURO 2016 itu berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-86.

Gelson Martin memulakan gerakan dari sebelah kiri pintu gol Mexico sebelum bola hantarannya gagal dikeluarkan dengan kemas oleh Hector Herrera dan membolehkan Cedric Soares mudah merembat masuk gol kedua Portugal.

Tatkala perlawanan memasuki waktu kecederaan, Moreno muncul wira apabila menjaringkan gol kedua Mexico untuk menghadiahkan satu mata buat anak buah Carlos Osorio.

Mexico akan menentang New Zealand dalam perlawanan kedua pada awal pagi Khamis sementara Portugal akan berdepan misi getir apabila bertemu skuad tuan rumah, Russia.