Joachim Low mempertahankan pemilihan skuadnya bagi menghadapi Piala Konfederasi di Russia dengan menegaskan bintang utamanya perlu berehat bagi menghadapi Piala Dunia 2018.

Juara menanti itu mengetepikan Toni Kroos, Thomas Muller, Mesut Ozil, Jerome Boateng, Mario Gomez dan Mats Hummels untuk kejohanan yang akan bermula 17 Jun ini.

Pemain sayap Borussia Dortmund, Marco Reus, turut direhatkan manakala khidmat Leroy Sane, Mario Gotze, Manuel Neuer dan Julian Weigl terpaksa dilupakan akibat kecederaan sehingga mengundang kritikan Ketua Jawatankuasa Penganjuran Piala Dunia, Alexey Sorokin, susulan kegagalan menyenaraikan barisan utamanya.

"Penyokong berasa tidak gembira apabila juara bertahan Piala Dunia beraksi tanpa pemain bintang," kata Sorokin.

"Mereka adalah sebab kehadiran penyokong tetapi kita perlulah menerima kenyataan."

Low bercadang untuk melakukan eksperimen dalam kejohanan itu untuk memberi peluang kepada pemain muda meskipun sedar dengan kenyataan yang dibuat Sorokin itu.

"Pemain-pemain utama telah terlibat dalam banyak perlawanan dan mencapai had mereka," kata Low.

"Saya faham penyokong di Russia mengharapkan sebaliknya. Namun, mereka akan dapat menyaksikannya pada musim panas berikutnya.

"Apa pun pencapaian kami dalam Piala Konfederasi, ia akan membantu skuad ini pada tahun depan, atau tiga tahun lagi.

"Satu hari nanti, Piala Konfederasi akan menjadi faktor penting bagi sesiapa yang terlibat."

Jerman yang sudah meraih tiket ke Piala Dunia 2018 setelah menang lima perlawanan awal Kumpulan C, akan berdepan San Marino, awal pagi ini.

Low mengesahkan rombakannya berdasarkan tahap lawan yang mereka hadapi sambil memberi bayangan mengenai barisan pilihannya.

"Kami tidak akan menyediakan sebuah pasukan begitu rapi untuk menghadapi San Marino," katanya lagi.

"Fokus saya adalah bagaimana kami bersedia untuk perlawanan ini. Kami menghormati San Marino tetapi kami mahu menguasai permainan, bukan memikirkan pendekatan lawan."