Juara Copa America 2016, Chile, menjaringkan dua gol untuk membenam cabaran Cameroon sekaligus memenangi perlawanan pertama mereka dalam saingan Kumpulan B Piala Konfederasi 2017 dalam aksi di Moscow, semalam.

Bagaimanapun perlawanan di Otkrytiye Arena itu disulami dengan kontroversi apabila video bantuan pengadil (VAR) menafikan gol jaringan penyerang Chile, Eduardo Vargas, pada separuh masa pertama walaupun tidak menunjukkan pemain berusia 27 tahun itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Chile terpaksa menunggu sehingga ke 10 minit terakhir permainan untuk menjaringkan gol apabila pemain tengah Bayern Munich, Arturo Vidal, menanduk masuk bola hantaran Alexis Sanchez untuk menewaskan penjaga gol Cameroon, Fabrice Ondoa.

Vargas akhirnya berjaya mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-91 apabila menolak masuk bola muntah hasil percubaan Sanchez.

Gol itu pada awalnya tidak dikira kerana pemain Arsenal itu dikatakan terlebih dahulu berada dalam posisi ofsaid namun selepas berbincang dengan penjaga garisan, pengadil perlawanan mengesahkan gol kedua buat Chile.

Chile akan berdepan juara Piala Dunia 2014, Jerman pada Khamis dalam aksi yang dijadualkan di Kazan Arena.