Terengganu City FC muncul juara Piala FAM apabila mempamerkan aksi cemerlang membenam Selangor United, 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Kedua-dua pasukan yang telah mengesahkan tempat ke Liga Perdana musim depan turun dengan reputasi tersendiri selepas masing-masing muncul juara dalam saingan kumpulan.

Selangor United tampak lebih bertenaga dan peluang sulung muncul pada minit ke-34 namun Norhafizzuan Jailani gagal memastikan tandukannya menepati sasaran menerusi hantaran R. Thivagar.

Sebelum babak pertama berakhir, rembatan pemain tengah Terengganu City, Sollihin Mahamad pada minit ke-45 sedikit melewati palang gol.

Terengganu City memecahkan kebuntuan pada minit ke-52 apabila umpanan Khairul Ramadhan disudahkan dengan tenang oleh Rahizi Mohd Rasib.

Malang terus menimpa Selangor United ekoran tindakan Ridzuan Kamis menjatuhkan Rahizi dalam kotak penalti dan Khairul Ramadan meletakkan Terengganu City, 2-0 di depan pada minit ke-72.

Permainan sedikit tegang sebelum perlawanan tamat apabila Izzaq Faris Ramlan dilayangkan kad merah tetapi ia tidak menghalang Terengganu City bergelar juara Piala FAM.

"Pujian harus diberikan pemain-pemain yang memberikan terbaik dalam latihan serta perlawanan. Kualiti yang dipamerkan menyaksikan kami berhak bergelar juara," kata jurulatih Terengganu City, Md Noor Derus.

"Kami memiliki beberapa pemain senior dan remaja yang bersemangat tinggi dan ia adalah kunci kejayaan pasukan," kata penyerang Terengganu City, Khairul Ramadhan Zauwawi.