Terengganu City FC (TCFC) meraih slot separuh akhir Piala FAM selepas mengesahkan status selaku dua pasukan teratas Kumpulan B setelah menewaskan Marcerra United 2-1 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mengumpul 22 mata daripada lapan perlawanan, skuad kendalian Mohd Noor Derus itu sudah tidak mampu dikejar pasukan di tangga ketiga, D'Ar Wanderers, dan Young Fighters di kedudukan keempat yang akan merebut satu lagi slot dengan pasukan PJ Rangers.

Mohd Noor ketika ditemui berkata TCFC kini memburu gelaran juara kumpulan, sekali gus menjadi penyuntik semangat terbaik dalam merealisasikan sasaran melangkah ke Liga Perdana pada 2019.

Menurutnya, kemenangan tipis yang diraih kelmarin juga bukan kayu pengukur kekuatan sebenar The Sharks yang mempamerkan kesungguhan luar biasa musim ini untuk melangkah jauh.

"Setiap perlawanan cukup sukar bagi TCFC. Walaupun sudah mara ke separuh akhir, pemain-pemain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah ini," kata Mohd Noor.

Aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu menyaksikan TCFC mendahului pada minit kelapan menerusi Jasmir Mehat selepas pemain sayap itu menyambar sepakan penjuru yang diambil Lee Yong Cheng.

Marcerra kembali memperkemaskan rentak sebelum kedudukan menjadi 1-1 dengan gerakan satu dua yang dimulakan Mohd Syuhiran Zainal berjaya disudahkan dengan tenang oleh Haziq Fikri Hussein pada minit ke-25.

Selepas rehat, tuan rumah kembali agresif melalui rembatan jarak jauh Jasmir (m-46) serta percubaan Izzaq Faris Ramlan (m-50) yang menggegar tiang gol Marcerra.

Asakan berterusan The Sharks membuahkan hasil apabila Rusmanizam Roseland menanduk masuk sepakan penjuru Mohamad Sollihin Mahamad pada minit ke-72 untuk menjadikan kedudukan 2-1 buat TCFC.

Meskipun diasak pasukan pelawat, TCFC mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan ketujuh musim ini.