TERENGGANU CITY 1 FELCRA 1

Felcra FC membawa bekalan satu gol berharga dalam saingan Piala FAM selepas seri 1-1 dengan Terengganu City FC (TCFC) dalam suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.


Kelebihan selaku tuan rumah dimanfaatkan sepenuhnya TCFC untuk mengatur gerakan dan mendahului pada minit ke-13 hasil sepakan percuma menarik ketua pasukan, Zairo Anuar Zailani.

Gol itu tidak mematahkan semangat Felcra yang bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-23 selepas Mohd Alif Samsudin bijak menyambar sepakan penjuru Mohammad Farhan Mustafa.

Dua minit kemudian, TCFC hampir memperoleh gol kedua, malangnya rembatan kencang Zairo Anuar dari luar kotak penalti ditepis penjaga gol pelawat, Muhammad Syamim Othman.

Perlawanan semakin rancak dengan giliran Felcra menguji penjaga gol tuan rumah, Mohd Syamsuri Mustafa, yang menyaksikan percubaan jarak jauh Mohammad Haziq Mu'iz Abdul gagal menepati sasaran.

Sepakan percuma Zairo Anuar (m-39) sekali lagi nyaris memberi gol kedua TCFC, namun sepakan pemain berpengalaman itu sekadar tinggi melepasi pintu gol Felcra.

TCFC memulakan babak kedua dengan agresif dan berpeluang mendahului buat kali kedua tetapi Saiful Nizam Abdullah gagal menyudahkan dengan baik hantaran lintang Mohd Asysham Asri.

Usaha skuad bimbingan Roshadi Wahab itu untuk menggandakan jaringan terus buntu selepas sepakan leret Mohd Haris Safwan (m-62) tersasar.

Bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Syamsuri, muncul penyelamat TCFC dengan menafikan dua percubaan berturut-turut penyerang Felcra, Mohd Firdaus Azizul, di dalam kotak penalti pada minit ke-66 dan minit ke-74.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat, sekaligus memberi kelebihan kepada Felcra menjelang aksi timbal balik, 27 September ini.