MIDDLESBROUGH 1 TOTTENHAM 0

Tottenham perlu menemui ramuan kestabilan dalam persembahan mereka, akui Antonio Conte tetapi dia sedia bersabar menuju ke arah itu.


Prestasi terumbang-ambing Spurs kembali menjadi perhatian awal pagi tadi berikutan tersingkir dalam Piala FA di tangan Middlesbrough apabila tewas kepada kelab Liga Kejuaraan itu selepas masa tambahan menerusi jaringan tunggal Josh Coburn.

"Kami perlu menjadikan pasukan ini lebih stabil. Ia masih menjadi masalah besar buat kami," katanya dalam sidang akhbar.

“Saya adalah jurulatih pasukan ini dan sudah pasti saya akan menganggap pemain saya adalah yang terbaik di dunia.

"Tetapi kami masih perlu bekerja keras dan kami mampu memperbaiki masa depan dan juga merenungi kekalahan ini. Kekalahan ini perlu mencederakan saya, pemain saya dan semua orang yang bekerja di Tottenham."




Ia merupakan kemenangan Piala FA pertama Middlesbrough ke atas Tottenham dalam pertemuan ketujuh mereka sementara ia adalah kekalahan bersejarah buat Spurs -– belum pernah tersingkir daripada aksi piala domestik menerusi masa tambahan ketika menentang sebuah pasukan daripada divisyen bawahan.

Sejak awal tahun ini, Tottenham tewas tujuh daripada 13 perlawanan dan dalam kalangan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya Brentford (lapan) telah tewas lebih banyak perlawanan berbanding kelab London itu.

Semangat Conte berkobar-kobar dalam sidang media baru-baru ini terutama selepas kecundang. Malah, selepas kekalahan di Turf Moor, dia seolah-olah meragui masa depannya sendiri.

Tetapi kali ini dia lebih gemar berdiam diri dan tetap tenang sekiranya bakal menamatkan musim ini tanpa trofi.

"Pada masa ini saya menjadi orang terakhir (paling penting), saya tidak memikirkan tentang diri saya sendiri," jawabnya.

“Apabila saya bercakap dengan pemain, kami perlu memikirkan tentang ‘kita’, bukan ‘saya’.

“Bagi saya ia bukan satu masalah kerana saya masih ada keinginan, kemahuan, kesabaran untuk terus bekerja keras dan memperbaiki, menjadikan pasukan ini lebih stabil dari masa lalu kerana saya fikir ia adalah kunci yang boleh mengubah keadaan."