PKNS 1 (1) SELANGOR 1 (5)

Selangor melangkah ke perlawanan akhir Piala FA dengan agregat 5-1 selepas meraih keputusan seri 1-1 menentang PKNS FC dalam aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Shah Alam, malam ini.


Kemaraan Selangor itu sudah dijangka susulan melakar kemenangan besar 4-0 dalam perlawanan pertama di Cheras, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, PKNS tampil dengan aksi yang cukup agresif pada awal separuh masa pertama dengan memberikan kesukaran kepada pertahanan Selangor terutama menerusi Safee Sali dan Rafael Ramazotti.

PKNS melancarkan serangan berbahaya apabila Safee melakukan tandukan menarik pada minit ke-16 sekalipun tersasar ke sebelah kiri gawang lawan.

Selangor kemudian memiliki peluang terbaik pada minit ke-24 menerusi Mohd Amri Yahyah, bagaimanapun sepakan percuma diambilnya dapat dinafikan oleh penjaga gol PKNS.

Permainan Selangor lebih kemas dalam separuh masa kedua, dengan mereka berjaya menemui gol hasil daripada kesilapan pertahanan PKNS, Daniel Ting, yang gagal mengeluarkan bola dengan baik. Kesempatan itu diambil oleh Rufino Segovia untuk membawa Selangor di depan.

Pada hujung perlawanan, PKNS mendapatkan gol sagu hati melalui pemain gantian, Mohd Amri Haikal, sekali gus menjadikan kedudukan agregat 5-1.