"Ini baru Selangor!" Itu reaksi pemangku jurulatih Selangor, Nazliazmi Nassir, yang menyifatkan kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC) sebagai aksi sebenar Selangor yang gagal dipamerkan dalam tiga perlawanan terdahulu.

Kelainan suasana dalam bilik persalinan sebelum bermula aksi dengan TFC seolah-olah petanda nasib Selangor bakal berubah dalam pertembungan berdepan Terengganu, malam tadi.

Jika kegusaran lebih ditonjolkan pemain sebelum ini, kali ini skuad Red Giants lebih tenang dan bersahaja dalam mempersiapkan diri mereka sebelum aksi bermula.

"Saya dapat melihat suasana di bilik persalinan. Mereka telah menampilkan keyakinan dan berjaya bermain dengan cemerlang," kata Nazliazmi mengenai kemenangan 3-1 pasukannya.

Apa yang pasti, skuad Merah Kuning berjaya mengotakan janji untuk memastikan langkah mereka tidak terhenti awal dalam saingan Piala FA dengan menempah slot suku akhir.

Tambah Nazliazmi, beliau juga tidak menyangka dengan kemenangan mudah Selangor kali ini kerana meramalkan aksi sengit di antara kedua-dua pasukan di Kuala Terengganu.

"Kemenangan ini di luar jangkaan saya. Kami tidak hadir dengan taktikal yang sangat baik tetapi semangat kami adalah untuk mencipta kemenangan.

"Tiga jaringan yang berjaya dihasilkan membuatkan saya teruja," ujarnya.