Sarawak tidak akan memandang rendah cabaran pasukan Terengganu dalam pertemuan suku akhir pertama Piala FA yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Ketua jurulatihnya, David Usop, berkata meskipun bermain dalam Liga Perdana, anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu memiliki keupayaan yang luar biasa.

"Mereka mempunyai penyerang berbisa seperti Federico Falcone dan Lutfulla Turaev yang perlu diawasi kemas.

"Malah, pasukan mereka berada di kedudukan kedua dalam ranking Liga Perdana serta berjaya mengecewakan T-Team, pasukan Liga Super,dalam aksi pusingan ketiga Piala FA dan membuktikan pasukan ini bukan calang-calang," katanya.

Kerana itu, bagi David, pemainnya perlu bermain bermati-matian untuk mencuri gol di tempat lawan di Kuala Terengganu.

Menjelas lanjut, David tidak menyembunyikan kekhuatirannya dalam pertemuan tersebut kerana kini hampir kehilangan Ronny Harun, yang mengalami kecederaan berulang.

"Pergelangan kakinya kembali sakit selepas aksi persahabatan dengan pasukan kebangsaan di Filipina.

"Kami terpaksa menunggu sehari dua hari lagi sebelum membuat keputusan untuk menurunkannya."

Hal yang sama katanya berlaku kepada Nur Shamie Iszuan, yang masih bersama-sama skuad Sukan Sea negara.

"Kami akan menilai kemampuannya beraksi pada hari ini.

Mengenai kedudukan Hairol Mokhtar, pemain pertahanan itu seharusnya sudah boleh bermain selepas tamat penggantungannya pada 31 Mac.

"Kami akan merujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk kepastian."

Begitupun, katanya, kedudukan Hairol masih belum terjamin biarpun dia seorang yang berpengalaman kerana tidak mengharungi perlawanan kompetetif selama hampir tujuh bulan.

"Amat sukar baginya untuk menyesuaikan diri tetapi kami berharap dia dapat diturunkan bagi mengisi kekosongan Ronny, jika kecederaannya masih membelenggu.

"Kami juga ada Bonai atau Rodney Celvin yang boleh diturunkan di posisi tersebut jika keadaan mendesak," katanya lagi.

Ditanya strategi yang akan digunakan, David berkata, apa jua taktikal yang digunakan, yang penting adalah gol.

"Kami mahu dan perlukan gol. Ia mengatasi semua taktikal. Jaring gol secepat dan sebanyak mungkin kerana kami beraksi di kubu lawan," katanya lagi.