Penolong jurulatih Selangor, Mohd Rusdi Suparman, tetap bersikap positif mengenai peluang skuad Red Giants untuk meraih kejuaraan Piala FA musim ini meskipun berdepan finalis musim lalu, Pahang, dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pun begitu, Rusdi berkata pertemuan itu pastinya menjanjikan saingan sengit, apatah lagi berdepan Tok Gajah yang mempunyai reputasi yang baik.

"Sememangnya perlawanan ini dinanti-nantikan oleh semua peminat. Seperti kita tahu, Pahang adalah satu pasukan yang baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Selangor akan menghadapi satu perlawanan persahabatan menentang UKM FC sebelum bertemu Pahang.

Mengulas mengenai keputusan untuk mengadakan aksi itu, Rusdi berkata ia sebagai persiapan Selangor yang tetap fokus terhadap saingan Liga Super.

"Selepas perlawanan akhir nanti, kami akan menghadapi perlawanan Liga Super. Ini adalah salah satu persediaan untuk kami kekal fokus kepada saingan liga," katanya lagi.