Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, mengakui perasaannya bercampur-baur apabila pasukannya tersingkir dalam pusingan pertama Piala FA 2023 kepada kelab jiran, Penang FC, menerusi penentuan sepakan penalti semalam.

Menurutnya, Sang Kenari telah memberikan segala-galanya dalam perlawanan itu tetapi mereka gagal menoktahkan kemenangan di depan lebih 13,000 penyokong setia di Stadium Darul Aman.

"Malam ini perasaan saya bercampur, ada rasa gembira dan ada juga kecewa. Kecewa sebab kami tidak layak ke pusingan seterusnya dan gembira kerana daripada segi prestasi, ini adalah prestasi terbaik pemain setakat empat perlawanan yang dilalui.

"Saya rasa malam ini semua pemain menggalas tugas dengan baik dan inilah bola sepak. Walaupun ketinggalan, kami dah bagi semua tapi mungkin rezeki tidak memihak kepada kami," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan berkenaan, Sang Kenari ditewaskan Harimau Kumbang 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 sepanjang masa sebenar dan tambahan.

Ketua pasukan tuan rumah, Manuel Ott, meledakkan gua gol pada minit ke-8 dan 90 manakala gol pelawat hadir menerusi Giovane Da Silva pada minit ke-21 dan Hassan Saad pada minit ke-67.

Penjaga gawang Penang FC, Shafiq Afifi, Suhaimi dinobatkan pemain terbaik perlawanan kerana menyelamatkan beberapa percubaan wajib gol tuan rumah, termasuk menyelamatkan sepakan penalti, Lee Tuck dan Bojan Ciger.

Mengulas lanjut, Nafuzi juga memohon maaf kepada penyokong Sang Kenari kerana gagal untuk membawa pasukan itu untuk mara jauh dalam saingan Piala FA musim ini.

"Saya minta maaf (kepada penyokong) sebab kami sudah terkeluar dalam pusingan pertama dan kami sudahpun buat yang terbaik dan penyokong melihat sendiri kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain.

"Seterusnya, kami akan fokus kepada perlawanan lain seperti Liga Super tetapi selepas ini, masih ada banyak perkara yang perlu ditingkatkan daripada sudut permainan pasukan dan juga individu," ujarnya lagi.


Kredit: Sinar Harian