Pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan, enggan menuding jari menyalahkan pemainnya berikutan kekalahan 1-3 juara edisi 2010 itu kepada Selangor FC dalam perlawanan suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Sebaliknya, Devan menyifatkan kekurangan pemain import sebagai faktor yang menyebabkan kualiti permainan skuad Rusa itu tidak berupaya menyaingi kekuatan anak buah Tan Cheng Hoe.

"Ya, sememangnya ketiadaan pemain import ini menjejaskan prestasi pasukan terutama apabila dibandingkan prestasi dengan pasukan seperti Selangor dan Kedah (Kedah Darul Aman) yang dianggap pasukan atasan, kami tidak miliki kualiti untuk bersaing dalam aspek pemain import.

"Namun, hari ini kalau dilihat kepada perlawanan sememangnya kami tidak boleh menyalahkan pemain kerana mereka sudah bermain bersungguh-sungguh hingga saat akhir perlawanan.

"Tapi masih tidak dapat menyaingi kehebatan Selangor," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.




Dalam masa sama, Devan sekali lagi mengulangi pandangan bahawa skuad Hoben Jang Hoben itu amat memerlukan kuota pemain import sama seperti pasukan Liga Malaysia lain bagi memastikan pasukan tersebut menyaingi pasukan lawan.

"Semangat sahaja tidak cukup untuk cipta kejayaan, hari ini (malam tadi) pemain Negeri Sembilan ada semangat tapi kualiti iaitu sumbangan daripada pemain import?

"Penyokong Negeri Sembilan di luar tidak mengetahui masalah sebenar pasukan pada ketika ini dan saya juga tidak boleh beritahu kepada setiap penyokong jadi saya amat harap pihak media membantu kita," kata pengendali kelahiran Bahau itu.

Devan juga menegaskan, keputusan sesuatu perlawanan boleh memberi impak kepada moral dan semangat pemain, seterusnya akan mendorong kepada suasana tidak baik dalam pasukan.




"Saya terpaksa luahkan perkara ini kerana saya pun mahu menang.

"Jika Negeri Sembilan memiliki pemain import yang mencukupi dan berkualiti, pastinya kita boleh sasarkan kedudukan lebih baik dalam liga seperti musim lalu," katanya.

Sementara itu, Devan juga tidak menafikan skuad Jang bermula dengan baik malah berjaya bertahan walaupun pada minit-minit terakhir biarpun dengan 10 pemain.

"Babak kedua nampak sedikit kelonggaran di bahagian pertahanan dan saya buat pertukaran taktikal lebih menyerang malah ada serangan-serangan, saya rasa ada tiga empat kali penjaga gol mereka menyelamatkan keadaan sehinggalah kita dibolosi gol ketiga," katanya.


Kredit: Sinar Harian