Pahang melunaskan dendam kekalahan kepada Kedah di pentas akhir Piala FA musim lalu apabila menyingkirkan juara bertahan itu melalui kemenangan 1-0 di Stadium Darulmakmur malam tadi untuk mara ke suku akhir.

Pertembungan dua pasukan pilihan ini sememangnya antara aksi yang dinanti-nantikan walaupun pelawat dilanda prestasi tidak menentu kebelakangan ini.

Penyerang Pahang, Francis Forkey Doe, hampir meletakkan tuan rumah di depan pada minit kelapan selepas menyambut tandukan daripada Safuwan Baharuddin yang bagaimanapun dapat dihalang penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim.

Insiden itu memaksa Forkey Doe dikeluarkan empat minit kemudian kerana kecederaan dengan bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, dibawa masuk.

Rentak tuan rumah sedikit perlahan selepas detik itu yang membuka ruang kepada Kedah mengawal permainan, namun disia-siakan Sandro da Silva apabila rembatannya dari luar kotak penalti pada minit ke-20, jauh meliar.

Stadium Darulmakmur gegak gempita sebaik bola tandukan Patrick Cruz yang sebelum itu mengenai palang pantas disudahkan Mohamadou Sumareh ketika waktu permainan babak pertama hampir tamat.

Kedah bertungkus-lumus cuba mencari jaringan penyamaan pada separuh masa kedua tetapi peluang terbaik dimiliki melalui sepakan percuma Liridon Krasniqi pada minit ke-72, mudah dinafikan Helmi Eliza Elias.

"Kami tidak bermain dengan baik tetapi disiplin di atas padang merupakan hasil kejayaan Pahang mencipta kemenangan dalam perlawanan ini," kata ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

"Berdasarkan penilaian saya, Kedah tetap bermain baik. Perlawanan ini bersifat terbuka, kedua-dua pasukan mampu menghasilkan kemenangan. Tetapi kelebihan Pahang adalah bermain di laman sendiri dan mereka menggunakannya dengan sebaik mungkin," kata pengendali Kedah, Ramon Marcote.