Negeri Sembilan menepati ramalan ke separuh akhir saingan Piala FA selepas seri 0-0 dengan Sabah di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam ini untuk mara dengan agregt 1-0.

Berbekalkan satu gol hasil kemenangan 1-0 di Likas pada 1 April lalu, Negeri Sembilan tampil dengan aksi meyakinkan.

Bagaimanapun, kemaraan itu bukan semudah disangka pengendali skuad Rusa, Asri Ninggal, meskipun mendapat sokongan ribuan penyokong yang membanjiri stadium.

Jelius Ating yang enggan dikecewakan kali kedua, tampil dengan corak permainan lebih kemas, namun kedua-dua pasukan buntu dalam memburu gol dalam babak pertama.

Memasuki babak kedua, Negeri Sembilan cuba mengatur serangan awal tetapi masih gagal memecah kebuntuan.

Sabah pula tampak semakin bercelaru dengan terpaksa menahan asakan tuan rumah sehingga menyekat hasrat melancarkan serangan.

Akhirnya tempoh 90 minit di Paroi menyaksikan tiada gol dihasilkan, sekalgius melihat Negeri Sembilan mara ke separuh akhr.

Terengganu turut melangkah ke separuh akhir selepas melakar kemenangan ke atas Sarawak menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat seri dengan agregat 2-2 di Stadium Negeri, Kuching.

Terengganu di depan seawal minit kesembilan menerusi jaringan Issey Nakajima.

Ketika perlawanan dilihat bakal menjadi milik pasukan pelawat, Sarawak berjaya menyamakan kedudukan melalui gol Demerson Bruno pada minit ke-79 lalu memaksa perlawanan ke masa tambahan sebelum ke penentuan sepakan penalti.

Bagaimanapun, Demerson dan Mateo Roskam mengecewakan penyokong tuan rumah apabila gagal menyempurnakan sepakan mereka ,sekaligus tewas 3-1.

Sementara itu, turut melangkah ke separuh akhir, wakil Utara, Kedah, yang melakar kemenangan agregat 6-2 meskipun tewas 1-0 dalam aksi suku akhir kedua kepada PKNP.