Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Asri Ninggal, menyeru anak buahnya mempertahankan kelebihan yang mereka miliki apabila melayan kunjungan Sabah dalam aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, esok.

Sesi latihan Negeri Sembilan hari ini terganggu seketika akibat hujan lebat tetapi ia tidak memberi kegusaran buat Asri yang melihat ia adalah situasi biasa.

Meskipun hanya membawa bekalan satu gol (1-0) ketika bertandang ke Likas 1 April lalu, hasil jaringan penyerang import Marko Simic, Asri masih menganggap jaringan itu memberi kelebihan besar.

"Dalam peringkat ini, kedua-dua pasukan akan bermain berhati-hati kecuali kalau kami memiliki jaringan yang banyak, ia berbeza.

"Kami akan mengambil pendekatan berhati-hati, fokus dan memberi persembahan terbaik dalam perlawanan esok," katanya.

Beraksi di hadapan penyokong tuan rumah sudah pasti dianggap sebagai pilihan utama untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, kerisauan Asri kini tertumpu kepada tahap kecergasan kapten pasukan, Mohd Nasriq Baharom, yang mengalami kecederaan ringan pergelangan kaki kanan.

"Kami ada seorang dua pemain yang mengalami kecederaan kecil dan kami akan membuat keputusan sebelum perlawanan. Esok kami akan tentukan pemain itu layak bermain atau tidak." tambahnya.