Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, mengucapkan terima kasih kepada segenap penyokong pasukan itu selepas mara ke final Piala FA 2022 dengan menewaskan Selangor FC dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.

Selangor pada awalnya kelihatan akan layak ke final kejohanan itu apabila Nor Hakim Hassan menolak masuk hantaran Quentin Cheng pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Terengganu, yang beraksi tanpa penyerang utama, Kpah Sherman, berhasil menyamakan kedudukan hasil penyudah bintang Harimau Malaya, Faisal Halim, pada minit ke-48.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat 120 minit untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Sorakan padu penyokong di Kuala Terengganu jelas mengganggu fokus pemain Selangor dalam penentuan itu sehingga sepakan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dan Yazan Al-Arab diselamatkan penjaga gol Peteh, Rahadiazli Rahalim, untuk membenarkan Terengganu ke final dengan kemenangan 4-2.

Pasukan gergasi Pantai Timur itu seterusnya akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi penentuan gelaran yang dijangka akan ditentukan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Nafuzi, dalam pada itu, mengucapkan terima kasih kepada penyokong pasukanya kerana sentiasa setia di belakang mereka.

"Yang pertama, saya berterima kasih kepada penyokong kerana kemenangan ini untuk mereka," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.

"Pelantikan saya bersama Terengganu musim ini adalah disebabkan kepercayaan penyokong terhadap saya.

"Jadi, kemenangan ini untuk penyokong kami kerana sudah sekian lama Terengganu tidak ke final.

"Semoga mereka semua dapat bergembira dengan keadaan ini.

"Impian saya memang untuk bertemu JDT dalam final kerana sebelum ini kami kerap disingkir awal oleh mereka tetapi kali ini, laluan kami tidak bertemu mereka.

"Jadi, Alhamdulillah, yang penting kami sampai ke final," katanya.


*Kredit foto: Terengganu FC

"Bola Sepak","Piala FA Malaysia","Terengganu FC","Selangor FC","Johor Darul Ta'zim FC","Nafuzi Zain"