PERAK 0 KEDAH 2

The Bos Gaurus harus menyalahkan diri sendiri apabila tersingkir dalam saingan Piala FA selepas tumbang 2-0 kepada Kedah dalam aksi pusingan ketiga di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.


Kegagalan memberi saingan dalam separuh masa pertama ternyata menjerat Perak selepas ketinggalan dua gol kepada pasukan pelawat.

Penjaga gol Perak, Muhamad Hafizul Hakim, dipaksa bertungkus-lumus dalam memastikan pintu golnya terus tidak dirobek dengan Lang Merah pula terpaksa membuat pertukaran awal ekoran kecederaan Amirul Hisyam Awang Kechik dan pengendalinya, Tan Cheng Hoe, menggantikannya dengan Muhammad Akram Mahinan.

Bagaimanapun, rentak garang Kedah tidak berubah apabila menjaringkan gol menerusi Zac Anderson dan Ken Ilso.

Kedah memanfaatkan penguasaan babak pertama itu apabila Anderson melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol pertama pada minit ke-28, berpunca daripada sepakan percuma yang diperolehi Abdul Halim Saari yang dikasari Shahrul Saad.

Hafizul nyaris tewas lagi tujuh minit kemudian, tetapi kali ini Jasazrin Jamaluddin berada dikedudukan tepat untuk mengeluarkan bola dari atas garisan gol.

Sebelum menutup babak pertama, penyerang Kedah kelahiran Denmark, Ken Ilso, pula berjaya menyudahkan peluang yang diilhamkan oleh Abdul Halim.

Perak berupaya mamperkemaskan permainan dalam baki 45 minti permainan.

Corak agresif mereka berjaya memaksa Kedah lebih banyak berkubu di kawasan.

Begitu pun, Khairul Helmi berjaya memastikan barisan pertahanannya kental bertahan selepas menerima beberapa asakan berbahaya menerusi Vladislav Mirchev.

Dalam pada itu, Nazirul Naim, terpaksa menaiki ambulan berikutan insiden pada minit ke-76, selepas berlaga dengan Baddrol Bakhtiar.

Lima minit sebelum tamat, Kedah hampir menambah jaringan. namun tandukan Ilso yang tidak dicabar sesiapa gagal menepati sasaran.

KEPUTUSAN LAIN:

T-TEAM 0 TERENGGANU 1

PERLIS 1 SARAWAK 2

NEGERI SEMBILAN 4 PULAU PINANG 1

PAHANG 2 MELAKA UNITED 0

JOHOR DARUL TA'ZIM 4 UiTM FC 0