LIVERPOOL 4 SHREWSBURY TOWN 1

Jurgen Klopp meluahkan kegusarannya mengenai kecederaan pinggul yang dialami Thiago Alcantara selepas Liverpool menewaskan Shrewsbury Town 4-1 dalam pusingan ketiga Piala FA malam tadi.

Thiago tidak dapat beraksi dalam tiga perlawanan terakhir Liverpool dan kegusaran mengenai pemain tengah itu kian meningkat apabila dia kini mungkin terpaksa diketepikan untuk tempoh lebih lama.

Bagaimanapun, pengurus The Reds itu berharap pemain kebangsaan Sepanyol berkenaan tidak akan berehat terlalu lama kerana khidmatnya amat ditagih ketika ini.

Ditanya sama ada Thiago akan terlepas baki saingan musim ini, Klopp berkata: "Tidak, saya tidak fikir ia sehingga Mac atau penghujung musim ini.

"Ia kecederaan di sekitar pinggulnya, itulah situasinya dan ia memerlukan masa buat ketika ini.

"Dia tidak berlatih sepanjang minggu ini tetapi kami menjangkakan dia akan kembali menjalani pemulihan bermula esok dan akan melihat keadaannya.

"Tidak mungkin dia akan berehat sehingga hujung musim ini, langsung tidak mungkin," katanya.

Klopp turut memuji persembahan Kaide Gordon yang memacu kebangkitan pasukannya untuk menewaskan Shrewsbury dan seterusnya akan bertemu Cardiff City dalam pusingan keempat.

Daniel Udoh membuka jaringan awal buat Shrewsbury tetapi kegembiraan mereka di Merseyside tidak bertahan lama.

Gordon menjadi pemain kedua termuda menjaringkan gol dalam sejarah The Reds selepas menjaringkan gol penyamaan pasukannya pada usia 17 tahun dan 96 hari menerusi penyudah kemas dan kawalan menariknya dalam kawasan penalti.

Fabinho kemudian meletakkan Liverpool di depan menerusi sepakan penalti sebelum waktu rehat dan menjaringkan satu lagi gol dalam waktu kecederaan selepas Roberto Firminho turut mencatat nama dalam senarai penjaring pada minit ke-78.

Klopp, yang kembali ke bangku pengurus selepas pulih daripada jangkitan COVID-19, tidak terkejut dengan aksi cemerlang Gordon dalam perlawanan itu.

Dia berkata kepada BBC Sport: "Dia memang seorang pemain yang amat berbakat dan kekuatan utamanya adalah sentuhan penyudahnya."