Skuad Tok Gajah melakar kemenangan 3-1 ke atas penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Pahang kendalian Dollah Salleh membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 menerusi tandukan pemain tengah, Syamim Yahya.

Syamim bijak berlari ke arah hantaran lambung Matthew Davies sebelum menanduk masuk ke gawang JDT.

Namun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila Marcos Antonio menyamakan kedudukan pada minit ke-22.

Berpunca daripada sepakan percuma Safiq Rahim, hantaran lambung kapten JDT itu berjaya menemui rakan sepasukan yang menanduk ke arah gawang Pahang sebelum disambut pertahanan import dari Brazil itu.

Bermula babak kedua, Pahang kembali di depan menerusi Matheus Alves pada minit ke-47.

Penyerang import Brazil itu bijak menghukum kesilapan komunikasi di antara pertahanan, Azrif Nasrulhaq, dan penjaga gol, Izham Tarmizi.

Memasuki minit ke-68, kesilapan jangkaan oleh Tarmizi ketika sepakan sudut Syamim membuka ruang buat pemain gantian Pahang, Bright Dike, membenam gol ketiga.

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan JDT perlu melipat gandakan usaha sebaik suku akhir kedua berlangsung 23 April ini.

KEPUTUSAN LAIN:

KEDAH 6 PKNP FC 1

TERENGGANU 1 SARAWAK 1

SABAH 0 NEGERI SEMBILAN 1