Piala FA: Kekalahan kepada Arsenal cetus bimbang Guardiola

Muzaffar Musa
Julai 19, 2020 02:35 MYT
Pep Guardiola percaya kekalahan Manchester City kepada Arsenal dalam separuh akhir Piala FA awal pagi tadi berpotensi menjejaskan peluang mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Bekas pembantu Guardiola, Mikel Arteta, menjadi dalang kemenangan 2-0 skuad The Gunners itu, yang menamatkan rekod tujuh kekalahan berturut-turut kepada City hasil dua jaringan Pierre Emerick-Aubameyang.
Kempen City dalam Liga Perdana Inggeris musim ini akan berakhir dengan menentang Watford dan pasukan yang sudah sah tersingkir, Norwich City, sebelum fokus mereka beralih kepada perlawanan menentang Real Madrid di Stadium Etihad pada 7 Ogos depan.
Bercakap kepada BT Sport selepas perlawanan itu, Guardiola berasakan tempoh rehat dua minggu sebelum berusaha menafikan skuad kendalian Zinedine Zidane itu, yang juga merupakan juara LaLiga musim ini, daripada menterbalikkan defisit gol 2-1 dalam perlawanan kedua pusingan 16 UCL, tidak memihak mereka.
"Kini kami memiliki dua minggu. Kami mahu beraksi dalam final (Piala FA) seminggu sebelum menentang Madrid untuk mengekalkan rentak permainan.
"Kami terlepas peluang itu," katanya.

3 - Arsenal had three shots on target in the opening 40 minutes - as many as they had managed in their three previous meetings with Manchester City combined. Unleashed. #EmiratesFACup pic.twitter.com/27QYzkDaMo

— OptaJoe (@OptaJoe) July 18, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sekalipun City memanfaatkan kelebihan mereka untuk mengatasi Madrid, peluang mereka dalam pertandingan mini itu di Lisbon bulan depan kelihatan tipis berdasarkan rekod mereka menentang pasukan besar sepanjang musim ini.
Arsenal menyertai Liverpool, Chelsea, Tottenham, Wolves (dua kali) dan Manchester United (tiga kali) dalam merakamkan kemenangan ke atas juara 'treble' domestik musim 2018-19 itu dan Guardiola tidak berselindung di sebalik kekecewaannya.
"Kami tidak bermain dengan baik. Apa yang mengecewakan adalah kami tidak bermain baik dalam babak pertama seperti yang kami lakukan dalam babak kedua," katanya.
Raheem Sterling, Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez hampir memecahkan kebuntuan buat City dalam babak kedua walaupun mereka hanya mencatatkan satu percubaan tepat ke gawang lawan.
"Pada hari di mana anda perlu bermain baik, kami tidak melakukannya.
"Kami bermula perlahan dan bukannya seperti cara yang diperlukan untuk menghadapi perlawanan seperti ini.
"Sudah banyak kali ia berlaku. Kami sudah bersedia tetapi hari ini, kami tidak melakukannya.
"Kami tidak bagus. Dalam perlawanan ini anda perlu bermain dengan bagus untuk layak," katanya lagi.
#Arsenal #Manchester City #Pep Guardiola #Piala FA