Johor Darul Ta'zim (JDT) , Kedah dan Negeri Sembilan menjadi pilihan pemerhati bola sepak tempatan untuk mara ke separuh akhir Piala FA.

Terengganu dan Sarawak pula dilihat memiliki peluang seimbang berlandaskan prestasi kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana.

Aksi suku akhir pertama akan berlangsung pada 31 Mac dan 1 April ini manakala aksi timbal balik pada 21 dan 22 April depan.

Pahang, Sabah, Kedah dan Terengganu akan menjadi tuan rumah pada aksi pertama.

Pahang yang kini kembali dikendalikan Dollah Salleh, perlu meraih keputusan positif berdepan JDT dalam aksi pertama di Stadium Darulmakmur untuk membawa bekalan positif ke laman lawan.

Pemerhati bola sepak, Asmawi Bakiri, mengakui sukar untuk meramal siapakah yang bakal melepasi ke peringkat seterusnya: "Mungkin di atas kertas sukar untuk diramal tetapi Pahang mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri bagi mengutip bekalan berharga untuk beraksi di Larkin.

"Bagaimanapun, mengikut kedudukan semasa dalam saingan liga, peluang memihak kepada JDT."

Aksi Kedah-PKNP FC juga tidak kurang hebatnya walaupun Lang Merah sudah pasti diihat mempunyai kelebihan daripada segi pengalaman pemain dan juga kualiti awang import.

Skuad PKNP bimbingan Abu Bakar Fadzim pasti memberikan saingan kuat kepada juara bertahan Piala Malaysia itu.

"PKNP FC memiliki pemain muda yang berkeinginan tinggi yang pasti akan memberi tekanan sengit kepada Kedah," kata bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir.