Selepas berehat hampir tiga minggu, saingan Liga Malaysia kembali bersambung membabitkan aksi suku akhir pertama Piala FA, Sabtu ini.

Tatkala pertemuan di antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka sengit, Kedah pula diramalkan berdepan laluan mudah ketika berdepan wakil dari Perak, PKNP FC.

Sementara itu, Terengganu bakal menyambut kunjungan Sarawak dan Sabah menanti Negeri Sembilan di Likas.

Penganalisis bola sepak tempatan, Jalil Ramli, berpandangan setiap pasukan mempunyai kelebihan masing-masing dan setiap pasukan mempunyai peluang terbuka untuk meneruskan kemaraan.

"Tidak banyak perbezaan ketara di antara aksi Pahang dan JDT, tetapi sedikit kelebihan buat Pahang yang akan bermain di tempat sendiri.

"Tetapi, percaturan taktikal di antara Benjamin Mora (jurulatih JDT) dan Dollah Salleh (jurulatih Pahang) akan menentukan pemenangnya," katanya.

Tambahnya lagi, cabaran Sabah dan PKNP juga tidak boleh dipandang rendah hanya berdasarkan reputasi mereka.

"Di atas kertas, mungkin sedikit kelebihan kepada Kedah yang begitu selesa di persada Liga Super.

"Begitu juga dengan Negeri Sembilan yang akan bertemu Sabah.

"Tetapi saya tidak terperanjat andai Sabah dan PKNP yang dibarisi pemain muda mampu membuat kejutan kerana inilah masanya untuk mereka untuk melakukan kejutan selepas mempamerkan aksi tidak begitu baik dalam kempen Liga Perdana."

Jalil juga memberi amaran kepada Terengganu bahawa Sarawak mampu melakukan sesuatu berdasarkan rekod baik mereka di tempat lain.

Terengganu menyingkirkan pencabar dari Liga Super, T-Team, manakala Sarawak membuat penampilan menarik dalam saingan Piala FA apabila menundukkan Perlis 2-1 dalam pusingan ketiga.

"Sarawak bermain baik di tempat lain berbanding di laman sendiri, apatah lagi Terengganu ketika ini mengalami krisis kecederaan dan penggantungan pemain.

"Ini akan memberi sedikit kelebihan kepada Sarawak."