Status pasukan lawan yang beraksi dalam Liga Super tidak meresahkan pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menjelang pertemuan dengan Kedah dalam aksi separuh akhir pertama di Alor Setar, malam esok.

Menurutnya, tiada istilah pasukan pilihan, terutama selepas menyaksikan beberapa pasukan Liga Super tersingkir kepada pasukan Liga Perdana dalam pusingan awal Piala FA.

Sambil merujuk kepada Selangor yang tunduk kepada Negeri Sembilan dan Kelantan yang dijinakkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Irfan bertekad mencipta kejutan seterusnya dengan menyekat kemaraan skuad Lang Merah.

“Terengganu sudah melangkah sejauh ini (separuh akhir) dan saya mengingatkan kepada pemain-pemain, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

“Meskipun Kedah agak bergelut ketika ini, mereka adalah pasukan yang lengkap dengan pemain yang baik di semua posisi.

“Namun, kami tidak akan memberi ruang kepada Kedah untuk bermaharajalela biarpun di gelanggang mereka sendiri,” katanya.

Tambah Irfan lagi, mereka perlu turun dengan segala kemampuan yang ada untuk membawa bekalan selesa ke Kuala Terengganu.

Kedah, ujarnya, sudah tentu akan membariskan kekuatan sebenar dan semua pemainnya perlu bersedia untuk diturunkan kerana pasukannya juga berdepan beberapa masalah kecederaan.

“Sangat penting untuk kami mencari kelebihan gol di tempat lawan, malah Terengganu ada tempoh lebih sehari untuk berehat berbanding Kedah,” tambahnya lagi.

Rangkaian trio Issey Farran-Nakajima, Federico Falcone dan Mohd Ferris Danial dijangka akan terus mengetuai jentera serangan Sang Penyu, yang mengecewakan Sarawak dalam suku akhir.