Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menagih prestasi berganda daripada penyerang import, Faderico Falcone, yang disifatkannya masih gagal untuk membantu skuad Sang Penyu setakat ini.

Secara keseluruhan, Irfan berpuas hati dengan jentera serangan yang dimiliki, hanya Falcone yang dilihat masih sukar mencari keserasian di atas padang.

Falcone digesa segera bangkit memandangkan tanggungjawabnya di posisi serangan amat diperlukan ketika ini.

Tegas Irfan, andai tiada perubahan daripada penyerang kelahiran Argentina itu, dia tidak teragak-agak untuk mencari pengganti menjelang jendela pertukaran pemain, Jun depan.

"Saya lihat penyerang import kami belum lagi memperlihatkan belang sebenar.

"Dari satu ke satu perlawanan, saya mahu Falcone lebih agresif untuk merobek gawang lawan.

"Saya harus berbincang dengan pihak pengurusan dan kakitangan saya berkenaan apa yang harus dilakukan apabila jendela kedua perpindahan pemain dibuka nanti.

"Sebagai pemain import, dia harus lebih (baik) daripada pemain-pemain tempatan dan saya mengharapkan yang terbaik daripada dia sendiri," katanya.

Menjelang pertembungan adik-beradik membabitkan T-Team dalam aksi Piala FA hujung minggu ini, Irfan lebih selesa untuk merendah diri, pun begitu ia bukan penghalang untuknya meramal aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang dijangka berlangsung sengit.

"Pertemuan dengan T-Team ibarat pertemuan adik-beradik.

"Saya anggap T-Team sebagai 'abang' kerana mereka adalah pasukan dari Liga Super.

"Pertemuan dengan T-Team nanti adalah penentuan untuk kami melangkah ke suku akhir."