Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, tidak menolak kemungkinan sikap ambil mudah anak buahnya membawa kepada kehampaan mereka apabila gagal meneruskan aksi dalam saingan Piala FA musim ini.

Selangor mengejutkan pasukan tuan rumah itu 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hal itu diakui sendiri Irfan apabila pemain Terengganu mengadu apa yang ditonjolkan Selangor semalam jauh berbeza dengan aksi terdahulu yang membawa kemenangan 4-1 kepada Terengganu dalam saingan Liga Super sebelum ini.

Rentetan daripada kemenangan lalu, Irfan tidak menafikan ia punca yang membawa kepada kegagalan TFC yang terlalu mengambil mudah dengan situasi pihak lawan yang kehilangan ketua jurulatih, P. Maniam yang direhatkan.

"Pemain-pemain saya terkejut dengan persembahan yang ditampilkan Selangor, banyak kesilapan yang dilakukan menghukum kami," katanya.

Kelicikan pemain Selangor dalam tindak balas untuk sebarang kekasaran yang berlaku turut dipuji Irfan ketika pemain TFC gagal menarik perhatian pengadil, Nagor Amir Noor Mohamad, dengan aksi yang lebih dramatik.

"Mereka mempamerkan kelicikan di atas padang dan berjaya memberikan kelebihan kepada mereka untuk memenangi perlawanan ini," tambahnya.

Irfan, bagaimanapun, tidak mahu menyalahkan pemainnya 100 peratus, sebaliknya melihat kekalahan TFC juga akan membantu mereka untuk mempamerkan aksi yang lebih baik musim ini.